Saturday, April 18, 2009

GOTONG ROTONG LAGI

Sabtu, 18 April 2009
Pertamanya bagi pihak Persatuan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penduduk yang sempat hadir ke majlis Gotong Royong pada hari ini.
Terima kasih khusus kepada kaum wanita yang sejak awal telah menyediakan jamuan minum pagi untuk para petugas dan juga makanan selepas habis bergotong royong.
Terima kasih juga kepada agensi yang terlibat seperti Jabatan Bomba, Majlis Perbandaran Seremban dan juga Pejabat Rela Negeri yang telah menghulurkan bantuan seperti peralatan dan juga tenaga kerja.
.
Tumpuan kawasan yang ingin dibersihkan pada kali ini ialah longkang-longkang yang tersumbat yang mengakibatkan banjir melanda beberapa buah rumah seperti rumah Tn Hj Azhar, rumah Ustaz Wan dan rumah Pak Abu.
.
Seperti majlis gotong royong yang lalu kehadiran para penduduk pada kali ini adalah kurang memberangsangkan. Hanya sekitar 36 orang yang sempat hadir. Selebihnya para ahli dan penduduk mempunyai alasan tersendiri kenapa mereka tidak hadir.
.
Antara alasan yang sempat saya dengar ialah masa yang kurang sesuai, tidak mendapat surat jemputan lalu tidak menegtahui yang gotong royong sedang diadakan di taman mereka. Kurangnya kehadiran bermakna juga kurangnya kutipan yang diharapkan daripada para ahli. Ada juga yang mengatakan sudah mempunyai jadual yang telah disusun terlebih dahulu.
.
Sekali fikir jika kita hendak menunggu semua orang mempunyai waktu yang sesuai untuk bergotong royong, maka akhirnya sampai bila-bila pun kita tidak akan mengadakan gotong royong. Hari ini kita lapang, orang lain pula tidak senang, begitulah seterusnya.
.
Jika tidak mendapat surat jemputan dijadikan alasan, saya merasakan jika kita mempunyai semangat yang tinggi untuk turut sama menyumbang kepada aktiviti kebajikan di taman kita, maka sekurang-kurangnya para penduduk akan turut serta membantu apabila ahli yang sedang bertugas berada di hadapan rumah masing-masing. Saya berkata demikian kerana ketika kami betungkus lumus di hadapan rumah tertentu, penghuni rumah tidak langsung menunjukan muka.
.
Sesungguhnya kongsep Rumahku, Tamanku dan Kampungku masih belum dapat dihayati sepenuhnya oleh penduduk Taman. Saya selaku Pengerusi berharap pada masa-masa akan mendatang kongsep ini akan semakin dihayati oleh para ahli.
.
Tugas bermula agak lewat pada hari ini kerana Setiausaha Persatuan mengeluarkan surat jemputan dengan mencatatkan majlis hanya akan bermula pada jam 8.30 pagi. Sementara menunggu peserta tiba akhirnya gotong royong hanya bermula jam 9.00 pagi. Ini juga satu pengajaran berguna.
.
Agak meletihkan juga kali ini dan majlis hanya berakhir pada jam 1.10 minit tengah hari. Sekali lagi terima kasih warga taman yang sempat hadir dan memberikan sumbangan tenaga yang amat bermakna.
.
Jika ada yang terbaca blog komuniti ini, saya menjemput semuanya secara rasmi untuk menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan pada 25 April 2009, jam 2.30 petang bertempat di Perkarangan Surau As Salam.
.