Thursday, February 18, 2010

DENGGI MESTI DIKAWAL

Sembilan lagi maut akibat denggi (Dari Utusan Malaysia 19/2/10)


JERANTUT 18 Feb. – Demam denggi kini terus menjadi ancaman kepada rakyat apabila sembilan lagi mangsa menjadi korban sepanjang minggu lalu bagi tempoh 7 hingga 13 Februari lalu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, korban demam denggi terus meningkat berbanding tujuh kematian pada dua minggu sebelumnya.


Bagaimanapun katanya, kes demam denggi yang dilaporkan minggu lalu turun empat peratus kepada 1,059 berbanding 1,103 kes pada minggu sebelumnya.


‘‘Walaupun kes itu berkurangan tetapi jumlah kes mingguan yang dilaporkan masih tinggi.
‘‘Statistik di beberapa negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Perlis meningkat 100 peratus, Perak naik kepada 79 peratus, Pulau Pinang (35 peratus), Kelantan (11 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya (enam peratus), Selangor (tiga peratus dan Sarawak (dua peratus),” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Jerantut di sini hari ini. Menurut Tiong Lai, tiga daripada sembilan mangsa yang menjadi korban denggi ialah kanak-kanak berusia antara 5 bulan hingga 4 tahun dan selebihnya orang dewasa.


Katanya, enam daripada sembilan mangsa itu berlaku di kawasan wabak denggi yang mempunyai indeks pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi antara dua hingga 13 peratus.


Menurutnya, indeks Aedes yang tinggi itu menunjukkan tahap kebersihan yang rendah dan keadaan itu boleh menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk tersebut.


Selain itu tambahnya, jumlah kawasan ‘panas’ juga meningkat daripada 35 kepada 40 buah pada minggu keenam tahun ini.


‘‘Lebih membimbangkan, 58 peratus atau 26 daripada 45 kawasan ‘panas’ itu telah mengalami wabak melebihi sebulan tetapi masih mempunyai kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi.


‘‘Sehubungan itu, beliau mengesa komuniti setempat menerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) mengadakan lebih kerap aktiviti gotong-royong membersih kawasan kediaman bagi membanteras pembiakan Aedes,” katanya.

Menyedari kepentingan untuk mencegah merebaknya kes demam denggi di Taman ini, maka Persatuan Kebajikan Penduduk telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Majlis Gotong Royong Perdana pada hari Sabtu 20 Feb 2010. Semua penduduk di jemput untuk menjayakan majlis ini. Wakil Rakyat kawasan Lengging akan turut serta. Majlis akan bermula jam 7 pagi.

No comments: