Sunday, September 7, 2008

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 51

“When there is no enemy within, the enemies outside cannot hurt you.”



31 Ogos 2008 jatuh pada hari Ahad. Pagi minggu yang cerah. Penduduk Taman Panchor Jaya Fasa 6, menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan Yang Ke 51 dengan penuh keriangan. Terdapat dua upacara yang berlangsung pada tarikh tersebut.
Oleh kerana 31 Ogos 2008 juga bersamaan dengan 30 Syaaban maka AJK Surau As Salam telah menganjurkan program membakar lemang sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Membakar Lemang yang juga disebut hari 'mantai' atau hari 'mogang' dalam masyarakat Negeri Sembilan adalah merupakan tradisi lama yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang terdahulu.



Penduduk Taman Panchor Jaya menjayakan program ini secara bergotong royong. Kaum lelaki menyediakan buluh, daun pisang, kayu api dan tempat pembakaran. Sementara kaum wanita berkerjasama memasukan beras pulut ke dalam buluh dan memasukan santan kelapa.



Kira-kira jam 9.00 pagi lemang telah mula dibakar. Menjaga api lemang bukanlah kerja yang mudah. Kita mesti berhati-hati agar tidak ada lemang yang mentah atau yang terbakar hangus.

Saya lihat beberapa orang ahli taman begitu seronok membakar lemang. Ustaz Mohd Sobri, En Md Zin, En Abdul Talib, En Abdul Halim dan ramai lagi begitu tekun menjaga api lemang. Sudah tentulah tidak ketinggalan En Khalid yang sejak dari awal lagi sudah sibuk.

Berada berhampiran 'langgai' (maafkan saya jika sebutan itu tersilap) menjaga api supaya tidak terlalu marak dan tidak terlalu kecil, amatlah mencabar. Bukan sahaja bahang panas yang terpaksa dihadapi tetapi juga pedih mata akibat asap, sudah tentu tidak dapat dielakan.

Patutlah harga sebatang lemang dipasaran agak mahal sehingga mencecah RM8 sebatang kerana tugas menyediakannya agak rumit dan mengambil masa.

Sepanjang waktu pembakaran tersebut saya ingin mencatatkan satu detik yang agak lucu dimana beberapa batang lemang telah terjatuh dan air santannya terpancut keluar.Namun kerana kepakaran yang sedia dimiliki oleh pengendalinya maka saya dapati lemang-lemang tersebut akhirnya masak juga.

Upacara kedua yang terdapat di Taman pada pagi 31 Ogos ialah Pertandingan Rumah Indah. Walaupun pada asalnya hanya 3 buah rumah yang bersetuju untuk mengambil bahagian, tetapi akhirnya terdapat 11 buah kesemuanya.

Terima kasih kepada mereka yang mengambil bahagian kerana tanpa penyertaan mereka sudah tentulah program ini akan gagal.

Kisah terperinci mengenai Pertandingan Rumah Indah ini boleh diikuti dalam posting yang lain.

Kedua-dua upacara pada pagi 31 Ogos ini sesungguhnya memberikan impak yang besar dalam mengiratkan lagi silatulrahim antara penduduk taman.

Saya menyaksikan betapa mereka bersama-sama menjayakan program ini tanpa rungutan dan kelihatan ceria, seronok dan gembira sepanjang tempoh itu. Apa lagi yang kita mahukan dalam hidup bermasyarakat ini selain daripada rasa selamat, rasa riang ria, rasa dihargai, rasa menyumbang, rasa diperlukan, disukai dan akhitnya rasa kepuasan dalam diri dan wajah kita.

Syabas Penduduk Taman

No comments: